Pepatah ada
mengatakan ‘zaman beralih, musim bertukar’,sememangnya tidak dapat dinafikan
lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya
telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi
sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk
melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem
pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran
dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia.
Dalam hal ini, pendidikan maya
membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu
pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri
mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Selain itu, sitem ini
turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan
juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para
pelajar.
Dalam nada yang serupa, menerusi
sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat
turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi.
Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan,
kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa
buku yang banyak.
Di samping itu, para pelajar
terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan
pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para
pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik
dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari
ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Seterusnya, pendidikan secara maya juga
dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan.
Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak
langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar.
Kesimpulannya, sememangnya
pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan
masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang
baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik.
Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon
minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi
sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh.